BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, February 5, 2010

~KERANA FITNAH ITU~

Fitnah adalah suatu perkataan yang tidak asing lagi bagi masyarakat kita. Boleh dikatakan rata-rata kita dapat memahami bahawa fitnah adalah juga merupakan suatu perbuatan atau tindakan dan perkhabaran atau berita yang boleh membawa kepada sesuatu yang buruk dan keji, ini adalah disebabkan mendustai serta sikap tidak jujur dan tidak amanah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan perbuatan. Tindakan ataupun penyebaran berita dan perkhidmatan kepada masyarakat umum atau sesiapa sahaja sama ada berbentuk perseorangan mahupun orang ramai.


Tuduhan-tuduhan yang tidak berasas terhadap satu sama lain boleh menimbulkan fitnah. Islam tidak menyukai segala bentuk fitnah yang dilakukan oleh umat manusia apatah lagi oleh umat Islam sendiri. Sebagaimana firman Allah subhanahu wata’ala dalam surah al-Anfaal ayat 25 yang tafsirnya:

"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (bahkan akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab seksa-Nya."


Membiarkan perbuatan-perbuatan maksiat berkembang dalam masyarakat kita akan lebih membawa bencana fitnah bukan sahaja kepada orang-orang yang berdosa dan zalim itu sahaja, bahkan juga kepada masyarakat umum. Oleh itu setiap orang Islam bukan sahaja diwajibkan menjauhi dirinya daripada perbuatan yang dilarang oleh Allah subhanahu wata’ala tetapi juga lebih dari itu ialah berkewajipan pula mencegah perbuatan itu dari merebak di dalam masyarakatnya.


Sesungguhnya perbuatan menaburkan fitnah dalam masyarakat adalah suatu perbuatan yang boleh memesongkan iman seseorang. Bertindak menabur fitnah dengan berita yang tidak benar atau yang telah diubahsuai dari hakikat dan kenyataan sebenar memang mudah, tetapi kesan dari fitnah itu amat membahayakan. Kerana itulah Allah subhanahu wata’ala mengingatkan kita umat Islam dengan firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 yang tafsirnya:

"Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan."


Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim yang melakukan sembahyang, puasa, sedekah dan amar ma'ruf nahi mungkar umumnya, hendaklah berhati-hati supaya tidak terjerumus ke dalam lembah fitnah yang berbahaya ini. Setiap perkataan yang diucapkan, setiap langkah dalam tindakan dan setiap berita yang disiarkan hendaklah dijauhi dari semua bentuk fitnah kerana kiranya berlaku fitnah bukan orang lain sahaja yang akan mendapat bencana, tetapi juga yang berucap, yang berindak dan yang menyiarkan berita itu sendiri juga akan turut sama menghadapi kutukan dan kemurkaan Allah subhahahu wata’ala.


Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari dan Imam Muslim dan Ibnu Majah daripada Huzaifah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

"Fitnah seseorang lelaki pada keluarganya, hartanya, dirinya, anak-anaknya dan jiran tetangganya, akan menghapuskan pahala semua amalan sembahyang, puasa, sedekah dan amalan kebajikan amar ma'ruf nahi munkar (yang telah dikerjakan)."


Bagi mengelak bahaya-bahaya fitnah ini tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat itu, maka tindakan yang hati-hati dan lebih cermat diperlukan terutama dalam menerima apa juga berita perkhabaran yang datang kepada kita. Hal ini dijelaskan oleh Allah subhanahu wata’ala dalam firman-nya dalam surah al-Hujuura’at ayat 6 yang tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

http://www.brunet.bn/news/pelita/20dis/menuju.htm


NOTE: HARI INI,AKU HILANG SEORANG SAHABAT KERANA FITNAH. DAN AKU REDHA ,TERIMA APE YANG ALLAH TENTUKAN.. SEMOGA ADE HIKMAH DI SEBALIK ITU =(

0 comments: