Sejak kebelakangan ini, kes kematian terbaru akibat wabak penyakit H1N1 dilaporkan oleh media massa hampir saban hari. Melihat kepada jumlah kematian terkini yang mencecah 64 orang (sehingga artikel ini ditulis) membuatkan kita berasa keluh kesah tentang kesihatan diri dan kaum keluarga.
Walau bagaimanapun, di sebalik pandemik H1N1 yang meruncing ini, kita perlu meyakini bahawa setiap perkara yang berlaku itu terkandung hikmahnya tersendiri. Ia merupakan satu tanda, satu cetusan, satu peringatan untuk umat manusia renungkan dan fikirkan agar manusia kembali insaf atas amal perbuatannya. Situasi yang berlaku kini juga sebenarnya mengajak kita untuk banyak mengingati Allah pada setiap masa, dan bertawakal kepada-Nya dalam apa jua urusan kita. Ini kerana tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah.
Dengan izin Allah kita masih selamat daripada jangkitan wabak selesema H1N1, dengan izin Allah kita senantiasa sihat zahir dan batin untuk meneruskan kehidupan. Dengan izin Allah kita masih mempunyai peluang untuk menambah amal kebaikan, meninggalkan kemungkaran dan mengajak insan lain untuk maksud tujuan yang sama. Pada masa yang sama, kehidupan seharian perlu diteruskan. Kita tetap perlu keluar dari rumah atas pelbagai urusan, sama ada mencari rezeki, membeli barang keperluan, menuntut ilmu, melaksanakan ibadah, menjalankan dakwah dan sebagainya. Namun kita tidak tahu apakah ketentuan takdir yang akan berlaku kepada kita, terutamanya apabila keluar sahaja dari rumah, pergi ke pelbagai tempat, dan menemui pelbagai pihak, tanpa kita ketahui siapa pembawa wabak, atau di kawasan manakah virus itu terawang-awang di ruang udara.
Kini kita perlu sentiasa memakai penutup muka, kerap membasuh tangan, berusaha mengelakkan tempat yang sesak, serta berjumpa doktor apabila berasa kurang sihat, semuanya kita lakukan demi mengurangkan risiko penularan wabak penyakit H1N1. Kini juga, kita perlu berbelanja lebih atas pembelian barangan kesihatan yang jarang kita gunakan sebelum ini, seperti penutup muka, cecair pencuci tangan, dan penyukat suhu badan. Hal ini berbeza dengan situasi kehidupan kita sebelum ini. Selama ini kita dianugerahkan nikmat untuk bergerak ke sana sini tanpa sebarang kebimbangan. Kita ke masjid untuk bersolat jemaah, kita ke taman permainan untuk beriadah, kita ke kedai atau pasar raya untuk membeli barangan keperluan.
Rupa-rupanya nikmat ketenangan fikiran tanpa terfikir sebarang wabak penyakit telah hilang daripada kita, digantikan dengan kebimbangan terhadap penularan H1N1. Hal ini membuatkan kita sentiasa berwaspada, mungkinkah virus itu di mana-mana. Memikirkan hal ini, rupa-rupanya selama ini kita hidup kerana kasih sayang Allah yang Memberi perlindungan kepada hamba-Nya dan Mengurniakan daya upaya kepada hamba-Nya untuk melakukan perbuatan yang diinginkan. Seharusnya situasi ini mencetuskan rasa keinsafan kepada kita, bahawa dengan segala nikmat kehidupan yang masih kita kecapi seharusnya kita manfaatkan dengan sebaik-baiknya, sementara nyawa masih dikandung badan.
Bisnes Baru : Buat Duit Dengan Internet
10 years ago
0 comments:
Post a Comment